SKUAD POWERLIFTING PARA NEGARA SASAR 2 PINGAT DI GEORGIA

KUALA LUMPUR, 24 November 2021 – Skuad Powerlifting Para Negara berlepas ke Tbilisi, Georgia pagi tadi untuk menyertai Kejuaraan Powerlifting Para Dunia 2021 bermula 27 November hingga 5 Disember ini dengan penyertaan enam orang atlet diketuai oleh pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo, Bonnie Bunyau Gustin.

Lima atlet lain yang turut mengiringi Bonnie yan berada dalam kategori 72 kilogram (kg) ialah Jong Yee Khie bagi kategori (107kg) yang juga pemenang pingat perak di Paralimpik Tokyo, Bryan Junency Gustin (80kg), Nicodemua Manggoi Saad (88kg), Wan Nur Azri Wan Azman (97kg), dan wakil tunggal bagi kategori wanita iaitu Sona Agon (73kg).

Saingan di Georgia ini dilihat sebagai pentas sulung untuk skuad negara memungut mata kelayakan ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis menurut jurulatih kebangsaan, Jamil Adam selepas mereka mula kembali menjalani latihan sejak pertengahan Oktober lalu.

“Saingan di Tbilisi ini lebih kepada membantu para atlet mendapatkan semula rentak, selepas berehat sebulan setelah beraksi di Paralimpik Tokyo.

Jelas beliau lagi, sasaran untuk merebut pingat iaitu berada di kedudukan tiga teratas hanya diletakkan pada Bonnie dan Yee Khie manakala 4 lagi atlet mensasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik dalam kategori masing-masing.

“Tahun hadapan, kita ada dua kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Paris 2024 iaitu di Korea Selatan pada Mei dan Sukan Para Asia di Hangzhou, China pada Oktober. Saya jangka atlet powerlifting akan mula mencapai kemuncak prestasi ketika itu,” jelas jurulatih berusia 52 tahun itu.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

Sumber: Bernama

Sumber Gambar: Majlis Sukan Negara (MSN)

Leave a Reply